Friday, August 12, 2011

Mengintai nasib dan harapan generasi Pemuda Pemudi PJS (Pt 1)

Bookmark and Share

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1 Malaysia.

Tahun ini sudah masuk tahun yang ke 3 semenjak pilihan raya umum ke 12 pada 8hb Mac 2008. Banyak perubahan dan pembaharuan bagi penambah baikkan yang cuba dilakukan melalui program transformasi kerajaan yang mengutamakan matlamat 1 Malaysia dicapai. Pada masa yang sama, selain daripada cabaran sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu sedar situasi yang mencabar kedudukan Melayu itu sendiri. Kita tidak perlu melihat jauh, di PJS ini sudah cukup untuk memberi gambaran mikro mengenai nasib Melayu di Malaysia.

Secara ringkasnya maklumat mengenai PJS melalui statistik yang diperoleh daripada MBPJ pada tahun 2009. Jika kita tumpukan kepada PJS 1, PJS2, PJS3 dan PJS4 yang terdiri daripada 11 penempatan iaitu Taman Dato’ Harun, Kampung Dato Harun, Kampung Medan, Kampung Gandhi, Taman Petaling Utama, Taman Medan Baru, Medan Maju Jaya, Taman Medan Perjasa, Taman Sri Manja, Taman Sri Sentosa dan Taman Desa Ria dengan jumlah penduduk sekitar 80,000 orang. Jumlah perumahan adalah sebanyak lebih kurang 22,000 unit dengan pecahan 4,780 unit rumah teres, 3,384 unit rumah pangsapuri dan yang tertinggi jumlahnya ialah rumah pangsa kos rendah sebanyak 13,200 unit. Manakala peratusan penduduknya terdiri daripada kaum Melayu 54%, Cina 23%, India 17% dan lain-lain 0.6%.

Tetapi hakikat sebenarnya ialah apakah nasib bangsa Melayu di PJS daripada jumlah pecahan yang diberikan tadi. Apakah bilangan dan nasib ekonomi, pendidikan dan masa hadapan bangsa Melayu di kawasan PJS? PJS yang majoritinya bangsa Melayu terletak di antara bandar-bandar membangun seperti Petaling Jaya, Bandar Sunway, Bandar Puchong, Jalan Klang Lama umpama tersepit, ditelan dan ketinggalan oleh kemajuan di sekitarnya.

Ini kerana ketika pembangunan dan projek baru yang sedang rancak naik, masyarakat di sini tidak mendapat sebarang manfaat selain daripada tidak terlibat dalam projek-projek yang dibangunkan. Mereka juga tidak mendapat bantuan kebajikan, pampasan, ganti rugi, bantuan atau peruntukan untuk memiliki unit-unit bangunan yang baru dibina, menjalankan perniagaan, peluang pekerjaan dan sebagainya nasib mereka tidak dibela oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Sebaliknya ada rungutan daripada peniaga setempat yang sudah lama bertapak lama di sini sedang menunggu nasib mereka dihalau keluar daripada kawasan perniagaan mereka tanpa ada perancangan terkawal. Kawasan dan suasana perumahan sekitar dicerobohi oleh pencemaran habuk dan bunyi pembangunan, kesesakan lalu lintas serta keselamatan anak-anak juga terjejas dan sebagainya. Tiada sumbangan kebajikan disalurkan oleh pemaju-pemaju, kontraktor serta Wakil Rakyat atau ADUN kawasan setempat. Kesimpulannya taraf hidup kekeluargaan masyarakat PJS lebih tergugat, umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Jika dahulunya pemimpin dan masyarakat setempat dengan lantangnya mempersalahkan Barisan Nasional atau UMNO. Kini seperti yang kita boleh lihat di PJS nasib Melayu dalam ekonomi jauh lebih rendah peratusannya dari segala aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya berbanding dengan kaum lain. Ke mana hilangnya suara lantang yang kononnya membela nasib masyarakat setempat di PJS? Di manakah pemimpin, Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat? Yang paling mustahak siapakah pemimpin Pakatan Rakyat yang membela nasib bangsa Melayu PJS terutamanya di kalangan anak generasi muda? Jika ini nasib Melayu di PJS, jangan bermimpi di siang hari untuk memperjuangkan nasib Melayu mengusai ekonomi sebanyak 30% di peringkat nasional. Masyarakat di PJS kena tepuk dada tanya selera.

Bukanlah tugas mudah bagi barisan Pergerakan Pemuda UMNO PJS daripada teraju utama pimpinan hingga ke peringkat akar umbi untuk menggalas tanggungjawab pada penggal ini. Pengorbanan, jasa dan budi baik kepimpinan sebelum ini wajib generasi muda mudi hargai dan yang termampu di balas adalah ucapan ribuan terima kasih. Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

Apa yang dikatakan sukar pada kali ini kerana UMNO dan Barisan Nasional kini berhadapan dengan cabaran tambahan seperti:

1. Tiada kuasa politik di peringkat negeri atau Majlis Bandaraya. Ketika digalas dengan tanggungjawab kepimpinan pada pemilihan yang lepas, kita sudah pun ditidakkan dengan 2/3 majoriti di parlimen. Manakala di Selangor, BN dan UMNO bukan lagi pemerintah tetapi telah pun menjadi pembangkang.

2. Ini disusuli dengan keadaan krisis ekonomi semasa dunia yang merosot dan semakin mencabar. Ia memberi kesan secara langsung dan tidak langsung dalam pergerakan aktiviti dari masa ke semasa. Syukur Alhamdulillah di PJS masih ramai Pemuda yang memberi sokongan ikhlas dan padu dalam melibatkan diri sepanjang aktiviti dianjurkan. Kami mengharap lebih ramai dapat melibatkan serta memeriahkan majlis pada aktiviti-aktiviti amal serta perjumpaan pada masa hadapan.

3. Melayu dan Islam terhina. Lebih menyukarkan apabila UMNO dihina oleh pembangkang seperti PKR dan DAP. Ia menanam sifat benci yang menebal terhadap UMNO yang memperjuangkan warisan Melayu dan kesucian Islam. Secara tidak langsung Pakatan Rakyat berjaya membuat anak muda mudi menjauhi serta malu pada identiti mereka sebagai Melayu dan Islam. Lebih menyedihkan kerana malu dengan identiti Kedaulatan Melayu, kesucian Islam juga dicemari sehingga ada yang menghalalkan bukan Islam membaca dan mentafsir ayat suci Al-Quran yang selamat ini dipelihara. Kini situasi sudah berubah, peribumi asli bangsa Melayu menumpang dan membanggakan identiti bangsa lain. Cabaran baru bukan lagi mempertahankan tetapi membawa mereka semula kepada menyelami, menjiwai roh dan maruah Kedaulatan Melayu dan Islam.

Kerana itulah ia nya dikatakan mencabar, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bagi kepimpinan yang sedia ada, mengemudi perubahan dan membela nasib bangsa Melayu di PJS bukanlah tugas yang mudah dalam situasi semasa.

No comments:

Post a Comment