Wednesday, April 14, 2010

Pantau keselamatan anak melalui Internet

Bookmark and Share

Utusan Maysia 15hb April 2010
Oleh FERUDDIN EMIR MOEHAMED IZAT EMIR (www.secss.com.my)
BARU-BARU ini pelbagai program dianjurkan serta dilancarkan antaranya ialah Kempen Prihatin anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Karyawan agar orang ramai dapat memperbaiki mutu hidup mereka terutamanya terhadap anak-anak kecil. Bagaimanapun langkah kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan sahaja tidak memadai tanpa inisiatif sendiri.
Selain dari isu pembuangan bayi, kita juga sering melihat artikel-artikel berita di surat khabar di mana anak-anak didera oleh pembantu rumah, pembantu rumah lari dari rumah serta mencuri harta benda milik majikan, lebih malang membawa lari anak majikan.
Rumah dipecah masuk oleh perompak dengan keadaan yang mencurigakan apabila pembantu rumah tidak langsung dicederakan, pengawal keselamatan yang majoritinya pendatang asing telah dicekup kerana mereka sendiri melakukan pecah amanah dengan mencerobohi rumah penduduk. Kecurian dan pecah amanah di premis perniagaan.
Semua ini sepatutnya memberi pengajaran dan teladan pada kita dan sepatutnya menyiapkan kita dengan langkah berwaspada untuk mencegah keadaan yang tidak diingini seperti ini berulang.
Keselamatan bukan lagi aksesori tetapi keperluan. Masyarakat negara-negara maju sudah pun menjadikan keselamatan sebagai budaya dan keperluan. Mereka memperuntukkan pendapatan bulanan untuk keselamatan sebagai antara kos utama selain daripada kos asas lain seperti rumah, makanan, kesihatan dan pakaian.
Untuk tempat-tempat perkhidmatan seperti pusat penjagaan anak, premis perniagaan, kawasan awam diwajibkan untuk memasang kamera bagi memantau keselamatan dari semasa ke semasa.
Teknologi semakin bertambah maju, di samping itu kerajaan terus komited dalam mempromosikan serta meningkatkan teknologi sejajar dengan kehendak dan kemampuan pengguna terutamanya di bidang industri Internet.
Kos melanggan Internet tanpa had sebulan adalah dari serendah RM40 sebulan. Tetapi ramai yang tidak tahu selain daripada melayari web atau e-mel, pengguna boleh menggunakan Internet untuk memantau keselamatan di rumah tanpa had pada bila-bila masa dan di mana sahaja yang mempunyai akses kepada Internet. Ia boleh dipantau melalui komputer dan juga telefon bimbit yang mempunyai fungsi 3G.
Ia dikenali Kamera IP (Internet Protocol Camera). Jika dibandingkan dengan Kamera Litar Tutup (CCTV), Kamera IP mempunyai banyak kelebihan seperti kos yang lebih murah dan ciri-ciri fungsi. Ia juga mesra pengguna tanpa memerlukan pihak ketiga untuk memasang Kamera IP.
Ia juga mengurangkan kos sistem kerana boleh menggunakan komputer sedia ada untuk fungsi-fungsi lain seperti merekodkan video dan sebagainya. Tiada kos pemasangan wayar untuk sistem Kamera IP tanpa wayar, manakala kos yang rendah bagi kamera yang mengguna kabel rangkaian.
Ia boleh ditempatkan di mana sahaja mengikut kesesuaian pengguna. Boleh mewujudkan format imej yang fleksibel mengikut kesesuaian pengguna, merekodkan suara, hanya melakukan rekod bila ada pergerakan, dengan ini boleh mengurangkan penggunaan kapasiti cakera keras.
Boleh dikawal, di konfigurasi serta menyelenggarakan Kamera IP di mana saja melalui Internet. Infrastrukturnya yang boleh diperbesarkan walaupun bermula dengan satu kamera sehinggalah ke berpuluh-puluh kamera tanpa kos tambahan infrastruktur utama seperti perakam video, sistem kawalan selain daripada kos penambahan kamera itu sendiri.
Memilih jenama Kamera IP dan syarikat pembekal adalah penting kerana ia juga memastikan kamera dapat berfungsi dengan baik, mesra pengguna dan perkhidmatan lepas jualan yang cekap terutamanya di waktu kecemasan.
Kamera yang murah tidak semestinya yang terbaik, ini kerana di pasaran kamera yang berkualiti boleh menawarkan sehingga 3 tahun jaminan pengilang serta rangkaian pejabat selepas jualan yang mudah didapati di seluruh negara untuk mendapat perkhidmatan dan alat ganti rugi yang berkaitan.
PENULIS ialah Perunding Sistem Keselamatan