Wednesday, December 29, 2010

Hidupkan semula Kontraktor Berwibawa

UMUM maklum bahawa negara masih melalui proses pemulihan ekonomi. Dengan langkah-langkah proaktif kerajaan untuk memperteguh ekonomi, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sektor industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah sektor pembinaan.
Secara amnya, sektor itu dapat mengaktifkan penglibatan sektor lain dan industri berkaitan secara langsung atau sampingan. Selain kontraktor ia juga melibatkan perkhidmatan arkitek, jurutera, juruukur bahan, perunding, seni bina dalaman, pengilang bahan binaan, teknologi, pengangkutan, landskap dan sebagainya. Pelbagai industri akan tumbuh dan mendapat manfaat langsung atau sampingan melalui sektor pembinaan.
Sekitar lewat tahun 1990-an, ketika saya mula menceburi sektor pembinaan sebagai pembekal, saya diberi tugas dan memikul tanggungjawab untuk memasarkan serta menjual beberapa produk bahan binaan dalam pasaran kepada kontraktor. Tidak dinafikan bahawa selain daripada saingan sengit dalam pasaran terbuka oleh pesaing lain, pada masa yang sama di pasaran ketika itu kebanyakan bangunan yang ingin dibina ialah projek-projek milik swasta. Manakala projek-projek kerajaan kebanyakannya berselindung di sebalik lesen syarikat bumiputera.
Lebih menyukarkan keadaan syarikat kami hanyalah antara syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri pembekalan bahan binaan jika dibandingkan dengan ratusan syarikat pembekal lain yang bukan bumiputera dan sudah lama bertapak di pasaran.
Pujian kepada kerajaan, melalui inisiatif dasar ekonomi baru, maka syarikat bumiputera pembekal bahan binaan seperti kami berjaya membekalkan untuk beberapa projek sepanjang tempoh penglibatan kami dalam industri binaan dan secara terbuka. Antara badan-badan kerajaan yang memberi kami peluang adalah Jabatan Kerja Raya, Putrajaya, Mara, Syarikat Perumahan Negara Berhad, Wilayah Iskandaria dan sebagainya.
Tetapi apa yang benar-benar menarik perhatian saya adalah apabila saya berurusan dengan kontraktor-kontraktor yang berdaftar di bawah Persatuan Kontraktor Berwibawa. Inilah kali pertama saya melihat syarikat diurus, ditadbir serta pegawai-pegawainya dijawat oleh bumiputera sepenuhnya, selain daripada syarikat korporat bumiputera yang berkaitan dengan kerajaan. Ia memberi inspirasi kepada saya sebagai anak muda bumiputera, serta menjadi lebih bersemangat dan teguh apabila melihat wujudnya kumpulan kontraktor sepenuhnya bumiputera yang asli dan bukan hanya berselindung di belakang lesen.
Secara ringkasnya Kontraktor Berwibawa ditubuhkan dengan objektif mewujudkan kontraktor-kontraktor bumiputera secara proaktif, berdaya saing, maju dan dalam masa yang sama mengekalkan imej berdikari kontraktor bumiputera yang mampu melakukan yang terbaik jika diberi peluang. Objektifnya sinonim serta jelas tertera pada nama persatuan ini. Persatuan ini mempunyai senarai keanggotaan dalam 200 ke atas. Mereka terbahagi kepada kumpulan kontraktor dari setiap negeri di Malaysia melibatkan klasifikasi lesen E sehinggalah lesen A yang berdaftar di bawah Pusat Khidmat Kontraktor.
Kebanyakan syarikat-syarikat kontraktor ini masih lagi wujud dan aktif di pasaran sehingga kini. Ada antara mereka sudah pun menjadi pemain utama dalam sektor dan industri ini. Antara syarikat sendirian berhad yang ketika itu berdaftar di bawah Kontraktor Berwibawa adalah Almatab, Johawaki, Pantel, Ibsul Holdings, H&I Niaga, Jopami, Target Resources dan Probil Industries.
Atas sebab-sebab tertentu, program Kontraktor Berwibawa ini telah dihentikan, mereka tidak lagi diberikan keistimewaan melalui program tertentu dalam bidang pembinaan oleh kerajaan. Ini bukanlah bermakna tamat riwayat perniagaan mereka dalam bidang pembinaan. Ada antara mereka mencari hala tuju dan maju ke hadapan melalui saluran lain, dan ada juga yang menukar hala tuju dengan bertukar kepada bidang lain selain daripada bidang pembinaan.
Saya mengandaikan mereka juga mendapat tapak yang teguh melalui kontrak-kontrak yang ditawarkan kepada mereka sewaktu bernaung di bawah program Kontraktor Berwibawa untuk dijadikan persiapan bersaing di pasaran terbuka.
Pasaran dan kawasan sektor pembinaan negara saling berkaitan dalam lingkungan kumpulan yang sama. Oleh sebab itu, apa yang berlaku di pasaran mudah diketahui umum dalam masa yang singkat. Jika lebih cenderung kepada perkara-perkara negatif dan bertentangan dengan inisiatif murni kerajaan, ia akan memberikan persepsi yang tidak baik terhadap nilai-nilai dan usaha murni kerajaan dalam membina kontraktor Melayu yang berdaya maju.
Umum maklum bahawa kita mempunyai ramai kontraktor bumiputera yang berdaftar, tetapi yang selalu menjadi tanda tanya adalah keaslian dan ketulenan syarikat-syarikat ini sebagai kontraktor sepenuhnya bumiputera. Selain itu, keupayaan mereka menyiapkan projek mengikut kontrak juga selalu dipersoalkan. Ada juga antara mereka yang tertera pada kad perniagaan secara terang-terangan menyatakan status bumiputera, tetapi diwakili oleh bukan bumiputera.
Ada juga beberapa kontraktor bertaraf sepenuhnya bumiputera, tetapi sering kali gagal menyiapkan projek serta gagal dalam tempoh masa serta peruntukan yang diberi melalui kontrak tender yang ditawarkan. Kontraktor yang sama ini juga akan kerap diberi projek-projek baru ataupun projek sambungan fasa yang seterusnya. Bukankah sikap tidak bertanggungjawab kontraktor Melayu seperti ini satu tamparan dan sindiran kepada inisiatif dan usaha kerajaan sehingga sering kali dijadikan bahan bicara dan jenaka.
Persoalannya di manakah tapak permulaan yang strategik bagi kontraktor-kontraktor tulen bumiputera yang tidak mempunyai modal besar - kenalan atasan dan saingan sengit di pasaran terbuka? Pada masa yang sama, di manakah anak-anak graduan muda boleh mula bertapak selain daripada jabatan kerajaan? Hanya segelintir daripada mereka berjaya melibatkan diri dalam sektor swasta yang bukan milik atau berkaitan kerajaan.
Bagaimana kerajaan memantau ribuan kontraktor bumiputera dan memastikan mereka mencapai indeks dan garis panduan yang disasarkan? Kita akan kehilangan lebih banyak bakat serta pasukan bumiputera dalam industri ini jika ia tidak diselia dan dikawal dengan baik. Ia memberi cabaran yang hebat dalam membentuk kitaran ekonomi bumiputera serta menyukarkan untuk menyediakan tapak dan mewujudkan generasi baru yang ingin menceburi sektor pembinaan. Perkara yang sama juga akan berlaku kepada sektor sokongan dan sampingan industri pembinaan.
Memang tidak dinafikan bahawa tidak semua program yang dijalankan dapat menghasilkan keputusan seratus peratus, tetapi ia perlu diukur dengan peratusan kejayaan dan kebaikan serta manfaat sampingan.

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF


Bookmark and Share

Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, 29hb Disember 2010, Rabu.
Tahniah Malaysia. Saksikanlah video semangat penyokong Malaysia yang menonton perlawanan tersebut dikedai mamak sekitar kawasan Sunway.