Saturday, August 13, 2011

Mengintai nasib dan harapan generasi Pemuda Pemudi PJS (Pt 2)

Bookmark and Share

Kita harus sedar bahawa UMNO adalah parti yang berteraskan Melayu telah terbukti memperjuangkan dan memelihara kesucian Islam dengan pelbagai cara. Jika kita nilai kan semula parti PAS parti yang bukan sahaja parti yang memperalatkan nama Islam sebagai jenama pada parti mereka, tetapi juga sanggup menukar hukum sewenang-wenangnya agar hasrat politik mereka tercapai. Sedarlah semua bahawa apabila bangsanya lemah, ia tidak dapat mempertahankan kesucian agamanya iaitu agama Islam yang sudah turun temurun dianuti oleh bangsa Melayu dan juga menjadi agama rasmi negara Malaysia.

Adakah pemuda pemudi Melayu PJS mudah diperbodohkan? Kita harus akur bahawa pimpinan kita memerlukan sokongan padu, iaitu dipimpin sebelum memimpin. Dipimpin dengan memberi kan dedikasi serta kerjasama kepada pemimpin, melalui manfaat itu kita kongsi bersama dengan mereka yang kita pimpin. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh sebab itu kita tidak perlu menoleh dan mencari-cari alternatif lain. Perjuangan sebenar memerdekakan jiwa dan kedaulatan bangsa Melayu yang asli sudah lama wujud dan berada di bumi Malaysia yang mulia ini, iaitu UMNO, dan di PJS ini Pergerakan Pemuda UMNO PJS yang dipimpin oleh Saudara Riduan Mahidin bersama saudara Md Sam.

UMNO sebagai sebuah parti yang banyak berjasa tidak boleh dipersalahkan. Kesilapan hanyalah disebabkan oleh segelintir ahli-ahli UMNO. Bak kata pepatah, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Kini kita buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Diri kita sendiri juga harus dipersalahkan jika kita takut akan perubahan dan pembaharuan. Kita tidak bertindak melalui dalam parti, tetapi memburukkan sesama sendiri melalui luar parti. Seperti membaling batu dan sembunyi tangan. Bukankah kita dididik untuk memperbaiki masalah kekeluargaan sesama kita tanpa mengaibkan keluarga kita pada orang lain. Bukankah kita bangsa Melayu juga adalah saudara sesama Islam. Kerana kita takutkan perubahan positif, lebih mudah mengata buruk daripada bertindak melakukan perubahan positif, oleh itu menyebabkan kita tidak bersatu padu. UMNO perlu bergerak dengan lebih tersusun, bersistem, terancang agar mencapai KPI dan objektif yang dihendaki mengikut peredaran masa. Hakikatnya kita sebagai bangsa Melayu adalah musuh utama kita sendiri. Ini kerana jika semua bangsa Melayu bersatu padu membina dan menjaga kedaulatan bangsa, jumlah kita sahaja sudah pun memadai untuk maju ke hadapan. Malangnya selain daripada berhadapan dengan cabaran bersatu di bawah parti UMNO, masih ada kalangan kita saling berpecah kepada beberapa parti lain. Lebih menyedihkan apa yang kita pelajari pada PRU yang lepas masih belum kita insafi, iaitu membina serta memelihara perpaduan adalah lebih sukar daripada menyebabkan perbalahan dan perpecahan, seperti yang diungkap dalam puisi Tun Mahathir, “Tugas kita bukan kecil, kerana mengisi kemerdekaan, rupanya lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya”.

Kini kita boleh pelajari melalui perubahan yang boleh kita lihat di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, terutamanya perubahan dalam UMNO yang kini sudah berubah dan lebih terbuka. Ungkapan “Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan” boleh dihuraikan seperti berikut:

1. Kepimpinan mendengar dan menjiwai isu-isu semasa masyarakat dan rakyat. Mendahului isu membela nasib bangsanya yang keciciran. Memahami jiwa dan fitrah generasi muda selepas Merdeka. Dengan sentiasa mendengar serta mendampingi masyarakat kita akan memahami akan situasi sebenar mengikut peredaran masa. Apabila rakyat masih lagi mahu berbicara dengan pemimpin, ia menjalinkan hubungan akrab. Kita juga boleh membezakan teguran-dialog kerana marah (teguran menghancurkan) atau teguran-dialog kerana masih lagi kasih dan sayang pada UMNO (teguran membina).

2. Kepimpinan yang mencerminkan gaya hidup sederhana, dalam masa yang sama mengutamakan isu-isu masyarakat setempat bukannya kemewahan dirinya sendiri. Tanggungjawab memastikan agenda kemakmuran ekonomi di kalangan orang Melayu, di samping itu mengutamakan nilai maju dan berjaya dalam diri kita selain daripada nilai kaya raya. Ini kerana kekayaan itu tidak boleh dicapai dan dipelihara sepanjang zaman tanpa melalui proses kemajuan dan kejayaan oleh sesebuah bangsa yang beretika. Secara tidak langsung ia mendukung maksud dalam lagu ikrar Pemuda "membina negara kaya raya" jika semuanya penguasaan ilmu dan kejayaan ekonomi dimiliki sama rata oleh bangsa Melayu. Erti kata lain politik untuk memperjuangkan ekonomi dan perniagaan bangsa Melayu, bukannya memperniagakan politik.

3. Pemimpin yang dekat dan kerap bersama masyarakat terutamanya di peringkat bawahan. Pemimpin yang menjalankan aktiviti dari masa ke semasa untuk kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik atau musim pemilihan. Mendekati masyarakat dengan menjurus kepada ciri-ciri NGO, mengutamakan isu kemasyarakatan semasa dan bukan kerana jawatan atau populariti. Asal-usul UMNO juga ditubuhkan adalah dengan gabungan 41 NGO seluruh Tanah Melayu ketika itu.

4. Tegas dalam menentang perkara mungkar seperti mengganggu gugat kesejahteraan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi pada masa yang sama mengikut serta menghormati perlembagaan pertubuhan negara Malaysia pada ketika itu dikenali dengan Tanah Melayu. Perlembagaan secara terangnya ditulis dan dipersetujui oleh semua pemimpin pelbagai bangsa ketika itu akan hak mutlak bangsa Melayu dan agama Islam.

5. Menentang penindasan yang terutamanya disebabkan oleh korupsi. Korupsi adalah musuh utama semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Bayangkan delimanya apabila korupsi yang tiada kena mengena dengan UMNO, tetapi UMNO juga tetap dipersalahkan, maka itu adalah lebih baik untuk UMNO bertindak menentang korupsi. Korupsi akan menyebabkan tergadainya maruah bangsa. Keikhlasan menentang korupsi wajar diterajui oleh perintis UMNO dengan dedikasi tanpa perlu menunggu Pakatan Rakyat menjadikan ia suatu isu politik. Keyakinan terhadap UMNO akan diterima dan meningkat oleh semua pelosok masyarakat Malaysia. Ia adalah isu universal, minta dijauhkan jangan kerana korupsi suatu hari Kedaulatan bangsa Melayu hanya tinggal dalam catatan sejarah.

Apabila semua nilai-nilai positif yang murni dan diperbaiki menjadi amalan ahli-ahli UMNO, ia menjadikan kita individu yang membawa nilai-nilai sifat kepemimpinan secara kolektif yang dihormati bukan saja di dalam UMNO tetapi di kalangan masyarakat secara umumnya. Masyarakat dapat membuat perbezaan antara pemimpin dan ketua, seperti membezakan antara intan dan permata. Apabila pemimpin berjaya menyatukan bangsanya sendiri, dengan secara tidak langsung pemimpin tersebut akan dihormati, disegani dan lebih mudah diterima oleh masyarakat bangsa lain.

Oleh sebab itu apabila YAB Presiden UMNO katakan pada perhimpunan Agong UMNO yang lalu “walau apa pun Putrajaya kita pertahankan”, ia membawa perumpamaan Melayu tidak boleh mengalah, Melayu wajib rajin, ikhlas dan maju agar kegemilangan bangsa Melayu tidak akan lupus di dunia. Selagi bangsa Melayu masih bernafas, mereka wajib bersatu padu di buminya sendiri iaitu tanah air tercinta Malaysia, kita wajib mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu agar terus kekal diwarisi oleh anak-anak kita. Pepatah ada mengatakan apa yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan bapa-bapa kita sebelum ini, begitulah juga nasib anak-anak kita di masa hadapan, mereka bergantung pada apa yang kita perjuangkan pada hari ini. Dalam konteks ini kita wajib selalu bersedia, berilmu dan bersatu padu cekal dalam menghadapi dan melepasi cabaran serta membawa dan mempertahankan kesinambungan martabat kedaulatan Melayu masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment