Thursday, November 18, 2010

Keluarga, Ekonomi dan Politik (Pt 2)

Bookmark and Share


Politik (UMNO)
Tidak dapat dinafikan bahawa Melayu memerlukan kuasa politik untuk mendaulatkan bangsanya dari berzaman dahulu hingga ke masa hadapan. Sehingga setakat ini hanya parti UMNO saja yang masih relevan, melambangkan perjuangan Melayu jika dibandingkan dengan parti-parti lain.
Tidak dapat dinafikan melalui politik dan juga UMNO, negara tercinta mendapat kemerdekaan. Juga melaluinya dasar-dasar yang diperkenalkan UMNO bersama perjanjian kontrak sosial banyak kemudahan diberikan seperti institusi pengajian, kewangan, jabatan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan telah mengutamakan serta menghasilkan banyak golongan cerdik pandai serta berjaya di kalangan bangsa Melayu.
Isu-isunya.
Malangnya semenjak kebelakangan ini, antara mereka yang cerdik pandai ini tidak berkecimpung dalam politik, lebih mendukacitakan mereka ini juga berpengaruh pendapat mereka membentuk satu cetusan idea baru boleh mempengaruhi undi serta diikuti dan menjadi pegangan pendapat generasi muda.
Mereka dari golongan yang terpelajar pasti sibuk serta komited dengan tugasan rasmi harian mereka. Jiwa atau roh bangsa Melayu kini tidak lagi setebal jika dibandingkan dengan generasi sebelum atau awal kemerdekaan. Ini kerana mereka lebih peka dan tertumpu pada perkara-perkara yang berkait rapat dengan bidang profesional mereka. Generasi baru ini lebih menjurus kepada merit kerja. Sikap mereka yang profesional menjadikan mereka tidak lagi mempunyai masa untuk melayan kerenah politik kedai kopi semasa.
Di sini saya ingin berkongsi rungutan dan persoalan yang selalu diutarakan kepada saya untuk difikirkan dan perbincangan bersama (perbincangan sesama mereka juga kebanyakan berlangsung di perjumpaan kedai kopi). Jangan biarkan ia menjadi suatu tuduhan dan tohmahan yang nyata serta membawa padah pada generasi masa hadapan.
Bagaimana golongan graduan serta profesional boleh menyesuaikan diri dengan budaya tebal kerenah politik kedai kopi?
Politik kedai kopi ialah lebih kepada tahap pembelajaran yang lebih tinggi, mereka ini semua penerima tauliah P.H.d, Perasaan Hasad Dengki. Mereka mempunyai masa untuk bersembang berjam-jam di kedai kopi. Mereka ini mempunyai masa untuk mencari kesalahan orang lain, mengapi-apikan satu pihak dengan pihak lain, tetapi gagal untuk memperbaiki diri mereka sendiri.
Jadi apa akan terjadi apabila golongan-golongan graduan serta profesional tidak lagi berminat melibatkan diri dengan politik? Adakah mereka akan terus mengundi UMNO? Ataupun akan wujud dan tumbuh lebih banyak lagi pembangkang yang cerdik pandai?
Apakah yang dimaksudkan agihan ekonomi melalui kontrak sosial?
Ini mereka justifikasikan dengan apa yang mereka lihat. Semua pemimpin ini memakai kereta besar, bermacam-macam projek tetapi jika melawat pejabat mereka, mereka hanya mempunyai syarikat yang berdaftar sahaja serta berselindung di belakang lesen, permit, kontrak dan sebagainya yang berstatus bumiputera. Ia ditawarkan kepada mereka melalui komitmen kontrak sosial.
Malangnya semua kerja ini di diberikan sepenuhnya kepada subkontraktor mereka iaitu bangsa lain. Oleh itu mereka tidak berupaya menawarkan peluang pekerjaan atau rakan kongsi dengan bangsanya sendiri dari peringkat tenaga mahir, separuh mahir hinggalah ke tenaga buruh.
Mereka juga mendapati semua ini broker yang bertaraf VIP kerana mempunyai kuasa politik serta bilangan pengundi atau kuasa membeli undi pada pemilihan akan datang.
Contoh isu yang jelas dan nyata tetapi dibutakan begitu sahaja ialah seperti kontrak-kontrak di bawah MITI (AP Kereta), Kementerian Pertanian (AP Sayur, Ayam), PBLT (90% kontraktor Melayu memberi sub penuh kepada syarikat lain) dan banyak lagi.
Penyakit ini melarat dan juga berjangkit kepada pegawai-pegawai kerajaan. Sekali lagi mereka lihat jalan pintas, jika pemimpin politik boleh lakukan, kenapa mereka tidak boleh turut serta. Yang menjadi mangsa atas nama proses pembersihan adalah kes-kes kecil oleh pegawai rendah.
Jika agihan kontrak sosial disalah gunakan, bagaimana ia dapat diagihkan sama rata untuk kaum bumi yang lain dan sampai ke peringkat bawahan?
Tiada jalan pintas kecuali jika anda ada tiket politik atau kuasa dalam kerajaan.
Generasi baru, pelajar-pelajar serta golongan profesional ini telah dididik tiada jalan pintas dalam hidup. Mereka harus melalui proses akademi, pengalaman kerja, cabaran dan saingan ekonomi untuk maju dan setaraf dengan bangsa lain. Tetapi cakap tak serupa bikin. Ini kerana sudah terang lagi jelas bahawa ramai ahli politik atau pegawai atasan kerajaan menjadi jutawan sekelip mata. Ini bercanggah dengan logik akal tanpa perlu melalui proses pendidikan dan penyelidikan yang panjang. Ini kerana mereka menjadi jutawan sekelip mata sejurus mereka mendapat jawatan yang berkaitan dengan kuasa memberi kontrak-kerja jika dibandingkan dengan usaha gigih usahawan tulen yang melakukan perniagaan yang bertahun lamanya. Tetapi mereka ini pula bukanlah dari golongan ahli silap mata. Dari konteks ini timbul persoalan “Siapa yang sebenarnya mempertahankan atau menjual maruah bangsa?”.
Saya sendiri bertembung dengan beberapa projek kerajaan di mana harga tanah untuk didirikan projek melambung berlipat kali ganda. Ini tidak termasuk nilai projek yang akan dijalankan. Manakala kontraktor yang dilantik gagal menjalankan kontrak tersebut mengikut jadual dan spesifikasi yang diberikan. Saya adalah antara segelintir syarikat subkontraktor Melayu yang terbabit dalam projek ini. Kamilah yang menjadi mangsa apabila kontraktor gagal membuat pembayaran. Kontraktor ini tidak risau kerana mereka sudah pun mendapat pulangan lebih lumayan melalui lapisan pertama iaitu melalui proses penjualan tanah. Lebih menyedihkan mereka merasa projek itu seperti hak mereka kerana mereka berselindung di belakang bekas pegawai berjawatan tinggi dalam kerajaan dan wakil politik. Di manakah merit perjuangan ekonomi Melayu dalam konteks ini?
Tiada lagi roh dan jiwa perjuangan dan perpaduan.
Oleh itu wujudlah satu generasi yang tidak lagi yakin dengan perjuangan politik yang membela bangsa. Mereka ini akan menjadi pak turut, hipokrit atau pengundi atas pagar. Golongan ini akan turut bermain mengikut rentak semasa. Tiada pendirian teguh memperjuangkan maruah bangsa. Ini kerana pada mereka yang menjual maruah bangsa bukan bermula dengan mereka, tetapi telah diteladan oleh pihak-pihak yang lebih dahulu dari mereka. Kini hanya tinggal mereka yang mempunyai masa lepak di kedai kopi memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
Bangsa lain sibuk dengan mesyuarat, kerja, aktiviti produktif membina benteng empayar. Kita masih lagi merungut di kedai kopi. Bagi golongan cerdik pandai ini, ilmu tanpa daya tahan dan jati diri pun tiada gunanya. Mereka patut lebih memberanikan diri melibatkan diri dalam arena politik melakukan perubahan dan bukan hanya sekadar suara di belakang tabir. Jika kita tidak dapat menarik mereka golongan profesional dan terpelajar dalam politik, bagaimana pula kita hendak memperjuangkan nasib golongan bawahan yang lebih memerlukan perhatian dan tindakan perjuangan ikhlas membela nasib mereka? Tepuk dada tanya selera.
Salam Ikhlas.