Wednesday, November 4, 2009

Benar Lagi Nyata.


Bookmark and Share


BERNAMA
04 November, 2009. 17:28pm
Pemimpin Bawahan Sekat Ahli Baru Masuk Umno - Dr Mahathir
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Kepimpinan UMNO perlu sedar bahawa keputusan yang dibuat oleh pemimpin cawangan atau peringkat bawahan mungkin menghalang orang baru iaitu golongan profesional muda menyertai parti itu. Mantan Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak akan berlaku pembaharuan tanpa orang baru dalam parti serta parti itu akan semakin kecil.
"Saya fikir perkara penting bagi kepimpinan UMNO adalah kesedaran bahawa UMNO semakin kecil kerana pemimpin peringkat bawahan sebenarnya menyekat kemasukan orang baru menyertai UMNO. "Jika tiada pembaharuan, mereka (pemimpin peringkat bawahan) akan menjadi tua dan bersara namun mereka sahaja yang ada untuk rakyat membuat pilihan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis siri wacana Perdana ke-10 bertajuk "Peranan Wanita dan Pemuda Dalam Pembangunan Negara" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.
Semasa sesi soal-jawab mengenai ucaptamanya, Dr Mahathir juga mengulas bahawa is bukan kegagalan sistem tetapi salah guna pendekatan yang berlaku di peringkat bawahan. Beliau menjelaskan bahawa untuk menjadi seorang ahli UMNO, seseorang itu terlebih dahulu perlu menyertai cawangan berbanding berdaftar secara langsung dengan parti. Bagaimanapun, pemimpin peringkat bawahan mungkin melihat orang baru ini sebagai ancaman kepada kedudukan mereka dan berkomplot untuk menyingkirkan orang baru ini.
"Sistem ini bukan teruk tetapi pemimpin peringkat cawangan perlu memahami bahawa untuk UMNO berjaya, UMNO memerlukan lebih ramai pemimpin handal," katanya.
Mengenai krisis MCA, Dr Mahathir berkata parti itu perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukan kepentingan peribadi. Dr Mahathir juga mengingatkan golongan pemuda supaya memberi lebih tumpuan kepada pendidikan dan menimba ilmu serta kemahiran supaya menjadi pemimpin yang berwibawa dan tidak membuang masa mengadakan demonstrasi. Dalam perkembangan lain, beliau berkata undang-undang dan peraturan yang dilihat mendiskriminasikan golongan wanita perlu dikaji.
Katanya dalam masyarakat Islam terdapat beberapa injunksi Islam yang perlu dikaji sama ada ianya benar-benar Islam atau tidak yang mendiskriminasikan wanita. Bagaimanapun, katanya, negara ini bertuah kerana keadaan tidak begitu buruk di sini berbanding negara Islam lain. "Kebebasan Islam di negara ini jauh lebih baik berbanding negara Islam lain dan dalam keadaan tertentu negara bukan Islam juga," katanya. Dr Mahathir menjawab soalan seorang wakil kumpulan 'Sisters in Islam' yang bertanya sama ada undang-undang yang tidak mencerminkan perubahan peranan wanita dalam masyarakat perlu diubah di mana wanita kini menjadi rakan dan bukan didominasi.

No comments:

Post a Comment