Sunday, June 28, 2009

Nilai 'Terima Kasih'

Bookmark and Share
Ucapan terima kasih bukan dari teks bacaan tapi jiwa dan hati perjuangan yang besar hingga sampai ke akar umbi. Seperti baru-baru ini berlangsungnya beberapa program di kawasan PJS.
Maka itu sekalung ucapan tahniah dan terima kasih yang ikhlas dari hati kepada yang terlibat dalam program serta masyarakat sekeliling sudah memadai. Dalam keadaan sekarang ekonomi yang mencabar, kedudukan politik yang terjejas, saingan yang hebat jika kita berjaya menyelesaikan sesuatu program itu dengan selamat dan lancar, ia lebih memadai daripada tiada program atau sokongan langsung.
Dari situ berdetiklah semula semangat perjuangan, perpaduan, kerjasama ke arah mengukuhkan parti yang disayangi. Di masa akan datang kita akan memperbaiki keadaan dan lebih bersiap sedia. Kesinambungan perjuangan melalui program seperti ini akan berjalan dan mendapat lebih banyak sambutan.
Semua yang membantu pada hemat saya tidak di bayar wang ringgit mahupun apa jua bentuk hadiah dan pemberian. Bekerjasama atas dasar mengukuhkan perpaduan bangsa Melayu. Maka itu hargailah sumbangan rakan-rakan seperjuangan dan yang hanya perlu dikatakan ialah ucapan penghargaan “Terima Kasih”. Bukannya dengan mengakhiri dengan ucapan kita akan melakukan post-mortem untuk mencari salah dan silap.
Perpaduan itu datang dari kerjasama semua pihak, ini Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu bukannya Sykt Sdn Bhd. Mungkin kerana sikap begini kita sukar mendapat sokongan dalam parti apatah lagi dari masyarakat luar.
Akhirilah kerjasama aktiviti dengan ucapan ‘Terima Kasih’ dari hati yang ikhlas.
Terima Kasih.
Ikhlas
Feruddin Emir J

Sunday, May 31, 2009

Kesedaran komunikasi dan Internet di kawasan PJS.


Bookmark and Share

Umum harap maklum bahawa Internet sebagai salah satu medium komunikasi adalah penting pada masa kini. Ia bukan lagi aksesori tetapi adalah suatu keperluan. Tetapi malangnya masih ramai anak-anak muda serta komuniti PJS yang masih jauh ketinggalan dalam mempraktikkan penggunaan Internet dalam aktiviti dan cara komunikasi mereka. Ini menjadikan komunikasi dan hubungan dalam kawasan PJS tidak efisen, sedangkan kapasiti dan kepadatan penduduk di kawasan PJS amat tinggi. Sebagai contoh jika diambil kawasan PJS yang dipisahkan melalui Lebuh raya NPE, kawasan PJS 1, PJS2, PJS3 dan PJS 4 mempunyai jumlah kepadatan penduduk seperti berikut:
1. Kg. Ghandi
2. Kampung Medan
3. Taman Dato Harun
4. Kampung Dato Harun
5. Taman Petaling Utama
6. Taman Medan Baru
7. Medan Maju Jaya
8. Taman Medan Perjasa
9. Taman Sri Manja
10. Taman Sri Sentosa
11. Taman Desa Ria
Manakala sekolah yang terlibat adalah:
1. Sekolah kebangsaan Dato Harun
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan
1. Sekolah Menengah Taman Medan
2. Sekolah Agama Rakyat Pulau Pinang
3. Sekolah Agama Taman Dato Harun
4. Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling
5. Madrasah Al-Hukimah
6. Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chyun
Jumlah perumahan sebanyak 42,626 dengan kapasiti penduduk seramai 79,080 orang.
Tetapi baru-baru ini apabila bancian dilakukan kepada seramai 60 orang ahli belia di dalam lingkungan umur 18 tahun ke 25 tahun oleh Pergerakan Pemuda PJS , kami dapati bahawa tiada seorang pun yang mempunyai e-mel. Peratusan tingginya tidak berminat atau belum wujud kesedaran betapa pentingnya menggunakan kaedah komunikasi tanpa wayar.
Ini mungkin berlaku kerana beberapa faktor tertentu seperti ekonomi sara hidup yang rendah, program promosi serta kesedaran yang kurang di kawasan itu dan sebagainya. Oleh sebab itu kami mengambil langkah untuk melakukan ‘road show’ bagi memastikan menanam serta memupuk kesedaran dalam penggunaan Internet sebagai salah satu medium komunikasi di kawasan PJS.
Dengan ini kami berharap pihak pimpinan UMNO Bahagian, Selangor dan Pusat memberikan kami sokongan berserta dengan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan industri ini bagi menjayakan kempen kami.

Sunday, April 5, 2009

Isunya bukan masalah bangsa Melayu, Cina, India, Suku kaum atau lain-lain bangsa.


Bookmark and Share

Isunya bukan masalah bangsa, kerana setiap bangsa ada parti yang mempertahankan hak mereka di dalam negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi. Masalahnya ialah rasuah! Rasuah! Rasuah! Apabila rasuah berlaku ilmu serta akal fikiran untuk melakukan pertimbangan wajar akan diketepikan. Agama, integriti, maruah, prinsip, undang-undang dan pegangan hidup begitu murah dijual beli kerana rasuah. Ia penyakit kronik seperti kanser, jika disimpan atau dibuang kedua-duanya berhadapan dengan maut. Apabila rasuah lebih utama, nasib bangsa diketepikan. Apabila rasuah hanya untuk kenikmatan seketika lebih utama, masa hadapan generasi Malaysia digadai! Menentang rasuah bukan sahaja patut datang dari kerajaan atau parti politik sahaja, ia adalah perjuangan semua rakyat Malaysia yang tertindas kerana rasuah. Oleh sebab itu tidak kira anda apa jua agama, bangsa, parti politik dan latar belakang, rasuah adalah musuh negara nombor satu dan ia harus ditentang habis-habisan. Rasuah adalah musuh negara, musuh pemimpin, musuh rakyat. Tentangilah serta membasmi rasuah habis-habisan! Fikirkanlah.

Saturday, April 4, 2009

Perjuangan UMNO terhadap peniaga bumiputera.


Bookmark and Share

Selesai sudah persidangan serta pemilihan barisan pimpinan UMNO 2008 yang berlangsung pada Mac 2009. Di sini saya ingin menyentuh satu perkara mustahak agar dapat diberi perhatian dan dijadikan salah satu agenda perjuangan UMNO terutamanya dari golongan barisan pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO yang baru dilantik. Sebagai pengusaha, pedagang, peniaga bumiputera dan ahli UMNO saya menyeru agar isu birokrasi yang berlaku dalam badan kerajaan ditangani dengan serius dan tindakkan serta langkah wajar wajib diambil dalam masa terdekat. Isunya bukan mengemis tetapi untuk mendapatkan projek secara sihat.

Cabaran perniagaan perdagangan dan pasaran. Sebagai contoh, bukan mudah untuk syarikat Melayu di Malaysia untuk mendapatkan hak pengedaran eksklusif dari jenama-jenama atau syarikat yang terkenal serta bertaraf antarabangsa. Kebanyakan hak eksklusif ini diberikan kepada syarikat yang bukan bumiputera. Apabila sudah mendapat hak eksklusif syarikat bumiputera akan berusaha mendapatkan pinjaman dari bank, badan kerajaan ataupun keluarga. Ada juga yang menggadaikan harta sepencarian demi untuk mengharungi cabaran sebagai pembekal. Ini kerana bagi mewakili jenama-jenama terkenal ini bagi untuk memenuhi permintaan pembekal seperti menyimpan stok serta komitmen jualan tahunan yang mana memerlukan modal permulaan yang tinggi. Syarikat bumiputera juga akan melabur serta membelanjakan modal mereka sebagai pelaburan dengan harapan dapat menawarkan pakej yang terbaik bagi projek-projek berkaitan dengan kerajaan. Kebanyakan mereka melatih pegawai mereka yang juga tergolong dari anak-anak graduan Melayu. Pasaran pula adalah terhad kerana pasaran terbuka kebanyakannya dimonopoli oleh syarikat bukan bumiputera. Oleh sebab itu pada permulaan kekuatan pasaran syarikat bumiputera selalunya tertumpu pada projek-projek yang berkaitan kerajaan kemudiannya beransur ke pasaran terbuka. Jangka masa tempoh untuk membina sesebuah syarikat bumiputera menjadi lebih kukuh sebelum ia ke pasaran terbuka selalunya mengambil masa dan perlu disokong dengan pakej-pakej yang disediakan oleh kerajaan.

Delima berurusan dengan jabatan kerajaan serta implikasinya. Di sini biarlah saya berterus terang sahaja. Seperti contoh projek-projek di bawah KDN seperti penjara dan bangunan polis yang berkaitan dengan produk keselamatan. Apabila sistem pemilihan tidak berdasarkan konsep seperti tertera dalam kontrak tetapi hanya dengan mengutamakan kepentingan yang menjurus kepada bersifat peribadi berikut adalah implikasi yang akan berlaku (ingin saya tekankan bukannya mengutamakan syarikat bumiputera sahaja tetapi juga mempersoalkan ketirisan sistem dalam jabatan serta pegawai yang memainkan peranan);
1.Penilaian sesuatu perkara tidak akan mengutamakan kualiti serta aspek teknikal yang berkait rapat dan amat penting dari aspek keselamatan tetapi hanya berdasarkan kepada pegawai atasan yang memperkenankan jenama tertentu atas sebab-sebab kepentingan peribadi. Kesannya akan wujud ketidakcekapan dalam operasi di kemudian hari.
2.Pegawai-pegawai lain juga akan mencontohi sikap ketua mereka di mana keutamaan adalah bersifat peribadi dan bukannya mengutamakan keperluan teknikal.
3.Apabila ini berlaku kesannya adalah peniaga-peniaga akan lebih berminat untuk tender menender melobi pegawai-pegawai yang berkaitan dan bukan ke arah menawarkan pakej produk dan harga yang terbaik bagi sesuatu projek. Satu suasana tidak sihat menular di dalam jabatan yang berkaitan.
4.Tentu sahaja dalam keadaan ini syarikat bumiputera yang menjadi mangsa keadaan kerana kebanyakan mereka masih lagi berpegang kepada nas-nas Islam dan adat Melayu selain dari modal kewangan yang terhad. Kesannya syarikat bumiputera akan gagal dalam saingan yang tidak sihat ini.
5.Selain kesan perniagaan, kesan-kesan lain akan juga terjadi kepada syarikat bumiputera yang terbabit seperti;
a.Hak eksklusif mewakili jenama terkenal ini akan ditarik balik kerana gagal mencapai sasaran jualan dan diberikan kepada syarikat lain yang kemungkinan tinggi bukan syarikat bumiputera.
b.Pelaburan wang, masa, pengalaman, pengetahuan teknikal sebagainya akan menjadi sia-sia.
c.Syarikat bukan bumi akan mengambil pegawai-pegawai Melayu dari syarikat bumiputera yang menghadapi masalah dengan hanya menawarkan sedikit tawaran yang lebih tinggi untuk berkhidmat di bawah telunjuk mereka. Dalam masa yang sama untuk menghapuskan saingan dan mengumpulkan maklumat berkaitan rahsia (kekuatan) atau strategi syarikat bumiputera. Mereka juga menggunakan pegawai Melayu ini sebagai agen atau wakil ‘bumiputera’ mereka.
d.Paling mendukacitakan ialah jawatan yang mempunyai kuasa di dalam jabatan kerajaan menggunakan kelebihan umpama mereka yang menjalankan perniagaan yang berkaitan kerana kuasa kelulusan ada di tangan mereka. Bukan hanya tidak memberi peluang sewajarnya kepada peniaga bumiputera tetapi juga tiada justifikasi teknikal, syarikat, pengalaman, kekuatan syarikat mengendalikan projek dan sebagainya. Lebih mendukacitakan apabila kontrak-kontrak ini diberi terus kepada orang tengah yang bertindak sebagai broker (agen mereka) atau diberikan terus kepada syarikat negara luar seperti syarikat dari Singapura. Ciri-ciri penilaian berperingkat peringkat mengikut keutamaan kerajaan langsung tidak dipraktikkan.

Perjuangan UMNO untuk memartabatkan peniaga Melayu. Saya berharap agar masalah ini serta isu yang saya bangkitkan mendapat perhatian dari semua peringkat pemimpin UMNO yang memperjuangkan serta membela nasib bangsa Melayu. UMNO adalah parti politik terbesar, mengetuai Barisan Nasional. Kerana perjuangan UMNO lah wujud peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi dalam kerajaan bagi bangsa Melayu. Salah satu agenda ialah sasaran perjuangan UMNO ialah mewujudkan ramai peniaga di kalangan bumiputera serta menaik taraf status mereka agar bedaya saing di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Yakinkanlah bangsa Melayu bahawa UMNO benar-benar tulus dalam memperjuangkan nasib peniaga Melayu serta membanteras birokrasi dan rasuah secara keseluruhan. Jika kekuatan kukuh serta sokongan padu dan kerjasama antara agensi kerajaan dan peniaga bumiputera terjalin rapat, akan wujud lebih situasi di mana ramai peniaga bukan bumiputera dalam negara atau luar negara yang ingin menjadikan orang Melayu sebagai rakan niaga mereka. Melalui proses ini orang Melayu akan lebih terbuka kepada pengetahuan, usaha, pengalaman, ilmu dan sebagainya dalam melibatkan diri di bidang perniagaan secara langsung dan bukan hanya sebagai orang tengah yang mengambil komisen. Tetapi jika masalah yang disebut tidak diselesaikan secara keseluruhan maka yang tinggal hanyalah harapan tetapi nasib bangsa tergadai. Takut kerana salah, berani kerana benar. Perjuangkanlah hak peniaga bumiputera dan saya yakin UMNO juga akan mendapat kembali kepercayaan dari golongan peniaga bumiputera ini.

Selamat berjuang. Ikhlas

Friday, April 3, 2009

Tahniah kepada Ybhg Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak


Bookmark and Share

Tahniah kepada Ybhg Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, hari ini dengan rasminya perdana menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.

Sunday, March 15, 2009

Melayu, Ekonomi dan Negara Berdaulat.


Bookmark and Share

Bangsa Melayu sudah terkenal dengan bangsa pedagang. Tidak perlu kita melihat terlalu terperinci tetapi hanya satu perkataan ini boleh dijadikan rujukkan iaitu MELAKA. Pada zaman ini Melaka bersejarah telah mencatatkan pelbagai pencapaian seperti pusat dagangan dan pelabuhan dunia. Melaka sudah menjalinkan hubungan baik antara empayar dunia seperti China, India, Eropah, Arab, Indonesia (Majapahit) dan sebagainya. Ketika itu Melaka dikenali sebagai pusat dagangan terunggul di dunia. Ini semua kerana aktiviti perniagaan atau ekonomi.

Tetapi kini masalah ekonomi masih menjadi isu utama bangsa Melayu. Dikatakan tuan empunya tanah tetapi bangunan yang mencakar langit dari pusat bandar yang pesat membangun hingga ke kawasan pinggiran peratusan majoriti dimiliki oleh bukan Melayu. Baki peratusan kecil bangunan ini pula kebanyakan dimiliki oleh kerajaan. Nisbah pencapaian ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu terlalu besar jurangnya. Begitu juga dengan peluang pekerjaan. Kebanyakannya bekerja sama ada di agensi kerajaan ataupun syarikat milik kerajaan seperti TM, TNB, PETRONAS, MAS dan sebagainya. Bidang profesional seperti Doktor, Akauntan, Arkitek, Kontraktor, Peguam dan sebagainya banyak yang lahir dari program yang disediakan oleh kerajaan. Majoriti mereka ini ramai berkelulusan Universiti di bawah kerajaan dan sebahagian daripadanya mendapat subsidi atau pinjaman kerajaan. Peniaga Melayu juga banyak bergantung pada peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan. Dari pinjaman, kontrak, geran, latihan dan sebagai disalurkan demi untuk membantu usahawan dan peniaga Melayu. Sepatutnya lebih memudahkan berurusan dengan kerajaan, mendapat projek, mempunyai hubungan jelas, daya saing yang baik kerana majoriti pegawai kerajaan ini adalah bangsa Melayu. Ekonomi kita juga amat berkait rapat dengan arus politik negara. Kuasa politik kebanyakan berada di tangan Melayu pada masa ini (mungkin menjadi lebih rendah di masa hadapan). Lihat saja di jalan-jalan berdemonstrasi yang kerap dipenuhi dengan bangsa Melayu.

Ibu saya sehingga hari ini memperjuangkan nasib bangsa Melayu dari segi membela mereka ke arah pendidikan serta ekonomi yang lebih baik, tapi ibu saya masih tidak kaya-raya wang ringgit hingga hari ini tapi saya yakin ibu saya kaya dengan budi dan keikhlasan. Parti yang diwakili Melayu juga adalah parti yang tinggi keahliannya tetapi masih berpecah antara satu sama lain. Kini wujud beberapa parti antaranya UMNO, Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia. Kerana Melayu sukar untuk bersatu. Negara ini negara berdaulat. Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Sudah kah kita bersedia untuk menepikan tongkat? Sudah kah kita bersedia untuk bersaing (kini semua bercakap isu saingan global bukan dalam negara sahaja)? Tiada siapa suka pada pemimpin atau pemerintah yang tamak dan haloba. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Rakyat dan generasi akan datang yang menjadi mangsa. Hidup ini juga satu perjuangan.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Fikirkanlah.

Friday, March 13, 2009

Pegawai kerajaan - Wira Malaysia.


Bookmark and Share

Mereka ini adalah wira yang jarang dinyanyikan di bibir masyarakat. Berapa kerap kita sebagai masyarakat menghargai jasa-jasa pegawai kerajaan seperti Polis (Penjaga keselamatan dan trafik), pegawai bomba, doktor, jururawat, cikgu, askar (yang sentiasa berada dalam keadaan bersedia dalam mempertahankan negara), pegawai kebajikan masyarakat, institusi agama dan sebagainya. Mereka juga mempunyai cita-cita, impian bagi keluarga serta anak mereka. Mereka juga merasai cabaran kerja, ekonomi dan apa juga kesan sampingan yang seperti masalah ekonomi yang sedang melanda negara. Umpama pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Persepsi ini perlu diubah dengan harapan parti yang memerintah kerajaan dapat memberi tumpuan serta memperbaiki masalah serta isu dalaman yang selalu dikaitkan dengan pegawai kerajaan. Perlu ada sistem penilaian dan piawaian yang dapat menjaga mutu, menilai serta memberi ganjaran kepada pegawai-pegawai kerajaan agar mutu serta kualiti mereka setaraf dengan sektor swasta serta mengutamakan kepentingan masyarakat dan objektif negara.