Thursday, January 20, 2011

SCORE bantu tingkat keupayaan kontraktor

Maklum balas dari KKR di Utusan Malaysia 20hb Jan 2011 kepada artikel saya Hidupkan semula Kontraktor Berwibawa, 30hb Disember 2011. Terima kasih KKR atas keperhatinan dan maklum balas.

SCORE bantu tingkat keupayaan kontraktor

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) merujuk kepada surat bertajuk Hidupkan Semula Kontraktor Berwibawa bertarikh 30 Disember 2010 yang ditulis oleh Feruddin Emir Moehamad Izat Emir.

Pertama sekali KKR amat berterima kasih di atas pandangan penulis yang boleh membantu kementerian ini untuk bersama-sama meningkatkan kewibawaan dan kompetensi pemain industri pembinaan di Malaysia khususnya kontaktor bumiputera.

Pada dasarnya, Program Kontraktor Berwibawa merupakan program di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM. Program ini dirancang dilaksanakan selama 10 tahun iaitu bermula tahun 1992 sehingga 2002 di bawah kendalian Persatuan Kontraktor Berwibawa (GBC).

Semasa awal penubuhannya, persatuan ini mempunyai ahli seramai 273 yang terdiri daripada kontraktor bumiputera yang berdaftar di dalam pelbagai kelas (kelas A hingga E) di bawah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK). Antara fungsi persatuan ini adalah mewujudkan kontraktor-kontraktor bumiputera yang berwibawa dan mempunyai kepakaran tersendiri di dalam industri pembinaan.

Selaras dengan dasar negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, sektor pembinaan dilihat sebagai antara sektor penyumbang utama yang menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi negara. Maka dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab KKR untuk melahirkan kontraktor yang berwibawa dan berkompetensi.

KKR telah membangunkan beberapa program antaranya Program Pembangunan Kontraktor Pakar yang bertujuan untuk melatih kontraktor ke arah pengkhususan atau bidang utama yang diperlukan dalam industri pembinaan.

Juga Program Pembangunan Integriti Kontraktor anjuran bersama CIDB dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) ke arah membina sahsiah kontraktor yang beretika dan berintegriti.

Di samping itu, bagi melengkapkan keupayaan syarikat kontraktor, pekerja-pekerja mereka juga diberi peluang untuk menjalani latihan kemahiran yang disediakan oleh CIDB melalui Program Pembangunan Personel Binaan. Latihan boleh diikuti di Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan pusat-pusat latihan bertauliah yang dilantik oleh CIDB, selain dari Program Peningkatan Ilmu Secara Berterusan yang wajib dipatuhi oleh setiap kontraktor.

Pelaksanaan Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE) yang dibangunkan oleh Kementerian dan CIDB juga merupakan satu kaedah yang membolehkan penarafan kontraktor dalam kelas masing-masing dibuat berdasarkan maklumat asas kontraktor itu sendiri.

SCORE juga dapat mengenal pasti kelemahan kontraktor dan seterusnya membantu kementerian merangka program yang dapat meningkat keupayaan dan kemahiran kontraktor. Ini secara langsung akan dapat merapatkan jurang kompetensi di kalangan syarikat-syarikat kontraktor yang berdaftar terutamanya di kalangan syarikat kontraktor berstatus bumiputera.

KKR sedang berusaha untuk mempertingkatkan pembangunan kontraktor Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya saing dan berdaya maju. Segala pandangan penulis amat dihargai oleh KKR dan pandangan dan cadangan tersebut akan diteliti serta dipertimbangkan jika ia memberi manfaat kepada semua pihak.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Kerja Raya

No comments:

Post a Comment