Tuesday, September 15, 2009

Kemiskinan Tegar.

Bookmark and Share


Merujuk pada artikel Bernama (link) mengenai kemiskinan tegar. Puji akan keprihatinan kerajaan terhadap inisiatif dalam menangani isu serta kadar kemiskinan tegar. Ramai juga ahli-ahli politik, pegawai kerajaan, idola, peniaga, usahawan yang berjaya dan masyhur mengatakan mereka juga datang dari latar belakang keluarga yang miskin seperti penoreh getah, pesawah padi, sawit dan sebagainya. Maka itu mereka dapat menghayati kepayahan hidup serta objektif mengatasi miskin tegar. Wajar sangatlah isu kemiskinan tegar ini ditangani dan lebih relevan daripada hanya memfokuskan isu rasuah atau kronisme yang hanya tertumpu pada beberapa kerat individu saja. Isu kemiskinan tegar ini lebih kepada perkongsian kemewahan dan kemajuan negara secara kolektif dan menyeluruh, melambangkan objektif dan nilai murni 1Malaysia.
Kemiskinan di PJS.
Umum harap maklum di PJS rakyat dan masyarakatnya peratusan tingginya terdiri daripada golongan pendapatan sederhana dan ke bawah. Harap pihak berwajib dapat menjalankan bancian rasmi untuk mengesahkan fakta dan maklum akan keadaan sekitar.
Berikut adalah salah satu contoh kes anggaran kasar perbelanjaan isi rumah oleh sebuah keluarga di kawasan PJS:
Rumah pangsa mampu milik (kos rendah) tidak lebih dari 1000 kaki persegi.
2 1/2 bilik dengan anggaran purata penghuni seramai 5 orang.
Pendapatan kasar bapa pula tidak melebihi RM2,500.00.
Ibu adalah suri rumah sepenuh masa.
Kos sara hidup yang meningkat seperti petrol, toll, kesihatan, pendidikan, makanan, elektrik dan sebagainya.
Perbelanjaan WAJIB bulanan bapa yang dipecahkan seperti berikut.
a. Kos rumah, air, elektrik: RM 500.00
b. Tangunggan dan pendidikan 2 orang anak yang bersekolah: RM 500.00
c. Kenderaan, parking, toll dan petrol RM 550.00
d. Makanan isi rumah: RM 500.00
Baki yang tinggal RM 450.00
Ini adalah kos sara hidup yang wajib tidak termasuk anak kecil, wang simpanan, telefon, pakaian, kelas tambahan, membeli perkakas serta mempertingkat taraf hidup keluarga. Darabkan semua ini dengan kebarangkalian jumlah carta di atas (mengikut sumber MBPJ).
Ditanya pada bapa kenapa tak cari kerja yang lebih maju dan tiada perancangan keluarga. Berikut adalah jawapan beliau:
“Dulu ekonomi elok, ketika ekonomi sarat pakcik diberhentikan kerja, kini pakcik ambil apa saja kerja yang ada asalkan dapat beri rezeki halal, bumbung untuk berteduh dan suap makan keluarga.”
Amat berharap sebelum memikirkan perbalahan antara pemimpin beberapa kerat, antara parti-parti berlainan, antara jawatan, fikirkanlah mengenai nasib keluarga dan masyarakat yang tersepit di tengah-tengah perlumbaan dan saingan yang entah ke mana. Tidak perlu pergi jauh ke hulu pelosok kampung untuk menghayati nasib masyarakat dari golongan susah, singgah sahaja ke kawasan rumah pangsa PJS hanya untuk sehari dan anda akan bersyukur dengan rezeki yang dihidangkan di atas meja anda.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, penduduk yang ditimpa kesusahan ini amat yakin bahawa para pemimpin dapat menghayati kepayahan hidup mereka. Nyatakan secara jelas tanpa mengira latar belakang tetapi mengutamakan objektif 1Malaysia. Rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam membasmi kemiskinan tegar bukan hanya dengan menabur wang ringgit mahupun janji, tetapi memastikan objektif menaik taraf hidup dan ekonomi agar ia menjadi kenyataan.
Salam perjuangan.

No comments:

Post a Comment