Sunday, March 15, 2009

Melayu, Ekonomi dan Negara Berdaulat.


Bookmark and Share

Bangsa Melayu sudah terkenal dengan bangsa pedagang. Tidak perlu kita melihat terlalu terperinci tetapi hanya satu perkataan ini boleh dijadikan rujukkan iaitu MELAKA. Pada zaman ini Melaka bersejarah telah mencatatkan pelbagai pencapaian seperti pusat dagangan dan pelabuhan dunia. Melaka sudah menjalinkan hubungan baik antara empayar dunia seperti China, India, Eropah, Arab, Indonesia (Majapahit) dan sebagainya. Ketika itu Melaka dikenali sebagai pusat dagangan terunggul di dunia. Ini semua kerana aktiviti perniagaan atau ekonomi.

Tetapi kini masalah ekonomi masih menjadi isu utama bangsa Melayu. Dikatakan tuan empunya tanah tetapi bangunan yang mencakar langit dari pusat bandar yang pesat membangun hingga ke kawasan pinggiran peratusan majoriti dimiliki oleh bukan Melayu. Baki peratusan kecil bangunan ini pula kebanyakan dimiliki oleh kerajaan. Nisbah pencapaian ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu terlalu besar jurangnya. Begitu juga dengan peluang pekerjaan. Kebanyakannya bekerja sama ada di agensi kerajaan ataupun syarikat milik kerajaan seperti TM, TNB, PETRONAS, MAS dan sebagainya. Bidang profesional seperti Doktor, Akauntan, Arkitek, Kontraktor, Peguam dan sebagainya banyak yang lahir dari program yang disediakan oleh kerajaan. Majoriti mereka ini ramai berkelulusan Universiti di bawah kerajaan dan sebahagian daripadanya mendapat subsidi atau pinjaman kerajaan. Peniaga Melayu juga banyak bergantung pada peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan. Dari pinjaman, kontrak, geran, latihan dan sebagai disalurkan demi untuk membantu usahawan dan peniaga Melayu. Sepatutnya lebih memudahkan berurusan dengan kerajaan, mendapat projek, mempunyai hubungan jelas, daya saing yang baik kerana majoriti pegawai kerajaan ini adalah bangsa Melayu. Ekonomi kita juga amat berkait rapat dengan arus politik negara. Kuasa politik kebanyakan berada di tangan Melayu pada masa ini (mungkin menjadi lebih rendah di masa hadapan). Lihat saja di jalan-jalan berdemonstrasi yang kerap dipenuhi dengan bangsa Melayu.

Ibu saya sehingga hari ini memperjuangkan nasib bangsa Melayu dari segi membela mereka ke arah pendidikan serta ekonomi yang lebih baik, tapi ibu saya masih tidak kaya-raya wang ringgit hingga hari ini tapi saya yakin ibu saya kaya dengan budi dan keikhlasan. Parti yang diwakili Melayu juga adalah parti yang tinggi keahliannya tetapi masih berpecah antara satu sama lain. Kini wujud beberapa parti antaranya UMNO, Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia. Kerana Melayu sukar untuk bersatu. Negara ini negara berdaulat. Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Sudah kah kita bersedia untuk menepikan tongkat? Sudah kah kita bersedia untuk bersaing (kini semua bercakap isu saingan global bukan dalam negara sahaja)? Tiada siapa suka pada pemimpin atau pemerintah yang tamak dan haloba. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Rakyat dan generasi akan datang yang menjadi mangsa. Hidup ini juga satu perjuangan.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Fikirkanlah.

Friday, March 13, 2009

Pegawai kerajaan - Wira Malaysia.


Bookmark and Share

Mereka ini adalah wira yang jarang dinyanyikan di bibir masyarakat. Berapa kerap kita sebagai masyarakat menghargai jasa-jasa pegawai kerajaan seperti Polis (Penjaga keselamatan dan trafik), pegawai bomba, doktor, jururawat, cikgu, askar (yang sentiasa berada dalam keadaan bersedia dalam mempertahankan negara), pegawai kebajikan masyarakat, institusi agama dan sebagainya. Mereka juga mempunyai cita-cita, impian bagi keluarga serta anak mereka. Mereka juga merasai cabaran kerja, ekonomi dan apa juga kesan sampingan yang seperti masalah ekonomi yang sedang melanda negara. Umpama pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Persepsi ini perlu diubah dengan harapan parti yang memerintah kerajaan dapat memberi tumpuan serta memperbaiki masalah serta isu dalaman yang selalu dikaitkan dengan pegawai kerajaan. Perlu ada sistem penilaian dan piawaian yang dapat menjaga mutu, menilai serta memberi ganjaran kepada pegawai-pegawai kerajaan agar mutu serta kualiti mereka setaraf dengan sektor swasta serta mengutamakan kepentingan masyarakat dan objektif negara.

Sunday, March 8, 2009

Yang tinggal hanyalah perjuangan habis-habisan.


Bookmark and Share

Antara Maruah atau Rasuah, apa pilihan anda? Saya terasa perlu untuk saya menulis mengenai perkara ini kerana ianya terjadi kepada diri saya sendiri. Lihat pada isunya sebagai masalah rakyat & negara tanpa mengira latar belakang. Ini adalah tanggungjawab saya dan kita semua menentangnya demi menjaga maruah serta memperjuangkan melalui tindakkan dan bukan hanya melalui kata-kata sahaja. Isu korupsi, birokrasi dan rasuah bukanlah perkara baru. Tapi kini di saat saya sedang menulis blog ini ianya menjadi perkara yang memudaratkan. Ia tidak kenal antara keutamaan negara, agama, masyarakat, politik apakan lagi keutamaan kepada orang Melayu.

Sunday, February 15, 2009

Jangan Malu Jadi Melayu dan Rakyat Malaysia.


Bookmark and Share

Bacalah sejarah mengenai gugusan tanah Melayu atau ‘google’ ia di Internet. Melayu adalah bangsa yang besar, secara ringkasnya gugusan tanah Melayu dikaitkan dari Malaysia (semenanjung, Sabah & Sarawak), Brunei, Indonesia, Siam, Burma, Filipina dan sebagainya. Lihat saja iras rupa pada wajah mereka. Tetapi kerana faktor kerajaan, geografi, keselamatan, sempadan dan sebagainya nama gugusan tanah Melayu atau Melayu Raya sudah pudar dan hilang ditelan zaman dan kini lebih dikenali sebagai South East Asia. Hakikatnya bangsa Melayu adalah satu rumpun bangsa yang besar yang boleh di sama tarafkan dengan bangsa lain seperti India, Cina, Arab dan Eropah. Jika dikaji lebih mendalam ia juga mempunyai sejarah, empayar, tamadun serta budaya yang hebat seperti bangsa-bangsa lain. Isu yang selalu ditimbulkan ialah isu perkauman. Isu ini hanya dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang ingin meraih populariti yang selalu dikaitkan dengan politik. Bagi saya tidak salah menekankan asal usul kemegahan bangsa Melayu sebagai penghayatan sejarah. Setiap negara yang mempunyai bangsa yang besar selalunya mempunyai perlembagaan bagi mempertahankan hak mereka bangsa mereka agar sentiasa dilindungi sepanjang zaman. Jika tidak mengapa kita tidak persoalkan negara besar di dunia agar melupuskan perlembagaan mereka yang melindungi bangsa mereka seperti Eropah, Arab, India, Cina dan sebagainya. Tetapi kerana isu politik, perkara berkaitan perlembagaan selalunya (yang nyata dan hakiki dalam catatan sejarah) disalah tafsir sebagai isu perkauman. Jijik pada mereka yang mempolitikkan isu bangsa kepada isu perkauman untuk kepentingan peribadi! Kini kerana sejarah juga Malaysia terbilang daripada komuniti pelbagai kaum. Hidup harmoni. Selisih faham tentunya terjadi dari masa ke semasa tapi ia sepatutnya mematangkan kita bukan menjadikan kita mentah sikap dan mencetekkan minda. Sedangkan lidah lagikan tergigit. Tak perlu berkata isu perpaduan Malaysia kerana perpaduan Melayu itu sendiri lemah! Fikirkanlah. Saya bangga ada darah keturunan rumpun Melayu yang mengalir dalam diri saya. Saya tetap akan memperjuangkan hak tanah tumpahnya darah ku iaitu tanah air tercinta Malaysia.

Monday, February 2, 2009

PROGERAK



Bookmark and Share



Pertubuhan ini dikenali dengan nama "Persatuan Profesional Dan Komuniti Penggerak Warisan Melayu,Daerah Petaling Selangor” (PROGERAK).

Tujuan pertubuhan ini ialah:
1. Merapatkan jurang antara golongan Profesional dan bukan Profesional dalam Komuniti bangsa Melayu tanpa mengira latar belakang tapi berdasarkan objektif persatuan dari masa ke semasa.
2. Memajukan dan menjayakan warisan Melayu dari segi kebudayaan, ekonomi dan pendidikan di kalangan ahli.



Reka Bentuk dan lambang:
-Bentuk segi empat tepat melambangkan keseragaman, teratur dalam perjuangan.
-Tiada apa-apa lambang grafik selain daripada abjad dan tulisan kerana ingin menyampaikan bahawa Pertubuhan ini mengamalkan dan mengutamakan sikap lqra, iaitu ayat pertama diturunkan kepada S.A.W yang mengatakan bacalah.
-Dalam konteks ini logo ini terus terang ringkas, jelas dan padu dalam pembacaan serta pesanan matlamat pertubuhan.

Warna Putih: Melambangkan kesucian, kebenaran dan, keyakinan, didalam melaksanakan tugas dan kerja sehingga mencapai kecemerlangan.

Warna Merah: Melambangkan semangat keberanian.


Warna Hitam: Melambangkan Kemewahan Adab Budaya Melayu.

Kombinasi Warna: Bermaksud perpaduan

Huruf (PRO) di kiri ke kanan yang bermaksud penekanan kepada ikatan kerjasama dan perpaduan dalam Persatuan, Profesional dan Komuniti.

Huruf (GERAK) mendaulatkan bangsa Melayu.

Thursday, January 15, 2009

Percaya akan perjuangan


Bookmark and Share

Wahai pejuang UMNO
Berilah kami semangat untuk berjuang
Berjuang bukannya dengan berperang bermusuhan dengan saingan
Tapi untuk memperjelaskan serta mempertahankan Kedaulatan Bangsa
Mengangkat martabat Agama dan Negara.

Wahai pejuang UMNO
Perjuangkan nasib Bangsa
Membela nasib Bangsa
Menyedarkan kealpaan Bangsa
Dengan menunjuk teladan yang ada
Buka hanya mengejar nama dan dunia

Wahai pejuang UMNO
Berilah kami kepercayaan agar ianya menjadi kewajipan kami
Berkorban demi Bangsa Agama dan Negara
Berkorban masa tanpa bersama isteri dan keluarga
Demi sebuah bangsa dan negara yang berjaya

Wahai pejuang UMNO
Kotakan janji yang dikata
Genggam erat silaturahim kita
Maju ke hadapan kita bersama
Atas prinsip tiang agama.

Wahai pejuang UMNO
Hentikan politik sendi senda
Mulakan politik membina
Sedarkan semua dari lena
Nilai pengorbanan demi generasi Bangsa